Ahad, 8 November 2015

Hj. Zakariya: I speak broken English

Ikon: Tuan Hj Zakariya
Bidang: Pengangkutan, Terminal Feri
Syarikat: Penaga Timur (M) Sdn Bhd


"I speak broken English"

Sementara menunggu rakan saya tamat mesyuarat, saya berlegar-legar di kawasan hadapan lobi Jeti Tg Kukup, saya ditegur lelaki ini.

"Datang dengan siapa?" Beliau menyapa.
"Dengan Fz, saya tunggu dia."

"Kita ada dua feri. Sekali perjalanan ke Tg Balai ambil masa 45 minit ... bla ... bla ..." Beliau galak bercerita.

Kemudian, membawa saya ke bahagian pelepasan penumpang dan menunjukkan feri Tuah 1. Tempat duduk lebih luas berbanding tempat duduk penerbangan tambang murah. Dek tiga tingkat dilengkapi penghawa dingin supaya penumpang berasa selesa.

Terdapat bahagian VIP di dek paling atas berhampiran 'kokpit' pemanduan feri. Apabila saya berdiri di bahagian luar feri, saya dapat melihat Taman Negara Pulau Kukup di seberang sana.

Lelaki ini atau lebih dikenali dengan panggilan mesranya Tok Ya adalah pemilik Tuah 1 dan pengusaha Jeti Kukup.

"Saya satu-satunya pemilik jeti Melayu di Malaysia." Katanya dengan nada yang sederhana. Saya faham. Gembira dan kecewa bersulam sama. Gembira kerana beliau berada pada tahap ini. Kecewa kerana tidak ramai anak sebangsa yang bersamanya.

"Nak berjaya, jiwa kena kental, mesti jujur, jangan mudah putus asa selain daripada keimanan kepada Tuhan," titipan beliau semasa kami di atas feri.

Menarik. Saya ingin tahu lebih banyak tentang beliau.

Gambar yang digantung pada dinding bilik mesyuarat menarik perhatian saya. Tok Ya berjabat tangan dengan seorang lelaki Cina. Beliau ialah Mr Robert Kuok, antara lelaki terkaya di Malaysia.

Menurut Tok Ya, apabila rakan bisnes khususnya yang berbangsa Cina melihat gambar ini secara tidak langsung ia meningkatkan kepercayaan mereka. Membina kepercayaan amat penting untuk reputasi bisnes.

Mengimbau kembali detik mula beliau memasuki alam pekerjaan. Pegawai yang menemuduga bertanya tentang kebolehan berbahasa Inggeris.

"I speak broken English."

Beliau diterima bekerja. Menyedari tentang kelemahan dalam bahasa, proses belajar diteruskan. Bergaul dengan bangsa asing pada masa tu walaupun sukar, selagi mesej dapat disampaikan, maka tugasan dapat diselesaikan.

Sehingga suatu hari, seorang pegawai berkulit putih berkata kepada beliau. Dan kata-kata 'keramat' atau sebenarnya sindiran itu memberi kekuatan yang luar biasa kepada dirinya.

"Orang Melayu bukan bodoh, tetapi malas."

Farida Ismail: Dari dapur rumah ke anjung Istana

Ikon: Puan Farida Ismail
Bidang: Bakeri, Makanan
Syarikat: The Dessert Table Sdn Bhd


Bemula sebagai aktiviti masa lapang

Siapa sangka hobi di dapur membawa seorang suri rumah ke tahap yang membanggakan pada hari ini. Puan Farida Ismail pada mulanya membuat kek cawan comel dan beberapa jenis kek asas untuk dijamu kepada jiran dan keluarga. Selepas tiga tahun berhenti kerja untuk menumpukan perhatian pada si cilik, beliau memulakan bisnes bakeri secara kecil-kecilan.

   Membakar kek pisang dan menghias kek comel dengan krim atau disebut sebagai 'frosting' adalah sesuatu yang baru padanya. Beliau membawa kek yang disediakan ke majlis kenduri. Kenalan dan jiran tetangga memberi maklumbalas yang baik. Salah seorang jirannya memberi keyakinan dan menjadi pelanggan pertama dengan menempah kek.

   Sejak dari itu, beliau semakin sibuk memenuhi permintaan pelanggan. Pada masa itu, pelanggan mengenali beliau melalui hebahan mulut ke mulut. Tiada media sosial atau blog untuk mengiklankan produk yang dihasilkan.

   Beliau mendaftarkan Planet Cakes untuk memudahkan urusan perniagaan. Pada masa itu, ia hanyalah aktiviti sampingan untuk menjana pendapatan dari rumah. Mereka yang pernah mencuba kek dan manisan yang disediakan oleh Planet Cakes mengakui keenakannya. Ada rakan yang meminta beliau untuk mengajar resepi dan cara penyediaan kek yang popular.

   Kemunculan ramai 'home bakers' sedikit sebanyak mempopularkan permintaan kek yang ditempah khas. Bagaimana ingin tampil berbeza? Beliau belajar membuat kek perkahwinan dengan rekaan yang moden dan kontemporari. Kreativiti dan kesungguhan menjadi rencah utama dalam menghias dan mereka kek perkahwinan.

   Dengan kemahiran yang ada, beliau mula berkongsi ilmu dengan 'home bakers' yang lain. Dapur di rumah menjadi medan menghasilkan kek yang menawan dan mengajar peserta pelbagai resepi dan rekaan kek. Beliau juga seringkali dijemput oleh akademi bakeri di Bangi untuk mengajar teknik yang betul dalam menghias kek.

Tempahan dari Istana

"Kalau ada tempahan yang you tak boleh buat, jangan tolak. Beritahu I. Kita usahakan." Puan Farida menyatakan kesanggupannya pada seorang rakan yang mengusahakan bisnes yang sama.

Keyakinan dan debaran silih berganti apabila rakan beliau menghubunginya untuk menghasilkan kek sembilan tingkat untuk Majlis Ulangtahun ke-62 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 2010. Mereka turut menyediakan 24 biji kek lain untuk dihidangkan kepada 1,000 orang tetamu pada majlis itu.

Sabtu, 7 November 2015

Osman Goat Farm: Bela kambing hingga menjadi penternak jutawan

Ikon: Tuan Osman
Bidang: Penternakan kambing
Syarikat: Osman Goat Farm

Sumber: Google
Gembala kambing dari usia 10 tahun

"Sekejap ya. Saya baru nak makan. Sibuk betul kerja hari ini," ujar Tuan Osman.
"Mat, tunjukkan mereka kambing yang kita ada. Sementara saya makan." Sambungnya lagi.

   Pekerjanya yang bernama Mat itu menunjukkan kami kandang kambing tenusu dan kambing akikah. Jualan susu kambing boleh mencecah 100 botol atau lebih. Jualan kambing akikah boleh mencecah 300 ekor seminggu. Baru-baru ini mereka menjual lebih 400 ekor kambing kepada orang Nepal kerana mereka meraikan perayaan khas.

   Saya dan rakan melihat kambing tenusu dan kambing yang diimport untuk dijual semula. Kami berasa bangga kerana dapat bertemu dan berbual panjang dengan pengasas Osman Goat Farm yang terletak berhampiran dengan sekolah rendah di Kampung Kangkar Tebrau.

   “Saya mula membela kambing semasa darjah empat,” Tuan Osman memulakan bicara.
   “Abang saya suruh jaga kambing-kambing yang dibelinya. Dia tak mahu saya bercampur dan bermain tidak tentu hala dengan rakan sekolah. Pulang sahaja dari sekolah, saya mengembala kambing di kawasan kampung.”

    Tuan Osman menceritakan pengalaman semasa usianya masih muda. Selepas tamat persekolahan darjah enam, beliau tidak berpeluang menyambung pelajaran ke sekolah menengah. Bapanya telah meninggal dunia semasa usianya 11 tahun dan keluarga tidak mampu untuk membiayai pendidikannya.

   Beliau bekerja di sebuah kedai runcit dari jam 7 pagi sehingga 11 malam. Begitulah rutin hariannya selama empat tahun setengah. Taukeh kedai hanya memberi cuti selama dua hari untuk Hari Raya Puasa dan sehari sahaja untuk Hari Raya Haji.

   Bosan dengan tugasan yang sama, beliau ingin berhenti kerja. Pada mulanya taukeh tidak membenarkan. Menginjak ke usia 18 tahun, taukeh itu memberi modal dengan sebuah motor kepada beliau untuk menjual ikan keliling kampung.

   Tidak lama selepas itu, beliau menjaja roti pula di Bandar Baru Uda selama empat tahun setengah. Duit keuntungan hasil jualan roti digunakan dengan cermat dan sebahagiannya disimpan. Beliau membeli sebuah van lama dengan wang simpanan yang terkumpul sejak remaja. Van itu dijadikan modal untuk menjual barang-barang runcit ke merata tempat sekitar Johor Bahru.
 
Siang menjaja barang runcit, petang hingga malam menjaga kambing

Suatu hari abangnya membawa pulang dua ekor kambing kampung. Kambing ini adalah ganti bayaran hutang seseorang kepada abangnya. Penghutang berkenaan tidak mampu membayar hutang  secara tunai.

   “Kau bela la kambing ni elok-elok,” pesan si abang.

   Beliau terkenang zaman awal remajanya sebagai pengembala kambing. Kali ini beliau membuat pondok di tapak asal perusahaan Osman Goat Farm. Pondok didirikan tanpa modal yang besar dengan hanya menggunakan serpihak kulit kayu dan dialas dengan tikar getah. Kawasan yang didirikan pondok itu asalnya dimiliki oleh seorang berbangsa Cina. Pemilik tanah datang dan menghalau Tuan Osman keluar daripada situ.

   “Kau keluar dari sini. Aku tak benarkan kau bela kambing atas tanah ni,” jerit Tuan tanah dengan kasar. Tuan Osman menjelaskan beliau hanya bela kambing secara suka-suka sahaja. Namun tuan tanah tidak mengendahkan rayuannya.